Monday, December 13, 2010

FIRQAH DAN MAZHAB DI ALAM ISLAM

Didunia Islam berbagai firqah, sekta dan kalta muncul dari masa ke masa sejak Rasulullah SAW wafat pada tahun ke-10 Hijrah atau 632 Masihi.

Firqah atau kalta pertama dalam sejarah Islam muncul sebaik sahaja Rasulullah SAW wafat. Firqah ini dipimpin oleh seorang pendusta bernama Musailamah yang kemudian diberi gelaran al-Kazzaab ( Pendusta ). Tetapi dia terbunuh akibat serangan tentera Islam pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Sesudah itu muncul pula beberapa firqah, mazhab dan kalta lain ada yang menjurus kepada persoalan ibadah, hukum fiqh, bahkan ada yang menjejas akidah.

Firqah Syiah misalnya lahir dari konflik kepimpinan ummah atau politik pada zaman Khalifah Sayyidina Ali bin Abi Talib akibat perebutan kuasa politik. Dari konflik politik akhirnya firqah ini mengasingkan diri di bidang akidah. Kemudian lahir pula firqah Muktazilah yang mengutamakan akal atau bebas dalam masalah agama daripada nas Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW.

Serentak dengan itu muncul pula firqah Kharijiyah yang juga terlibat dalam konflik politik kontra golongan Syiah Ali. Firqah ini terkenal dengan dengan sikap ekstrimnya terhadap lawannya hingga dengan mudah menghukum musuh mereka sebagai kafir, musyrik atau murtad. Ada pula firqah Qadariyah yang berfatwa bahawa segala perbuatan manusia digerak dan dicetuskan oleh manusia sendiri tanpa campur tangan Allah SWT.

Sebaliknya, golongan Jabariyah beriktikad bahawa segala perbuatan manusia dikawal dan digerakkan oleh Allah SWT 100 peratus. Maka orang yang melakukan maksiat tidak akan menerima hukuman dari Allah SWT. kerana dia tidak akan bertanggungjawab atas perbuatannya itu. Kemudian lahir pula firqah Najariyah yang percaya bahawa Allah tidak punya sifat dan mukmin yang melakukan dosa kecil pun akan menerima azab neraka.

Firqah Mushabbihah pula muncul dengan kepercayaan bahawa Allah mempunyai muka dan tangan, tempatNya di langit dan bentukNya seperti cahaya. Kebanyakan fatwa firqah ini melibatkan sosial ketuhanan yang ganjil dan sukar difahami. Kebanyakan firqah yang timbul tenggelam di alam Islam itu tidak kekal lama dan terbatas ruangnya walaupun mungkin masih wujud pada hari ini seperti firqah Syiah yang terbatas di Iran, Iraq dan segelintir di daerah lain, Bahaiyah yang terpinggir di dunia Islam sendiri, Wahabiyah yang terbatas di Arab Saudi, atau Ahmadiyah yang tertekan di negara asalnya, India.

Hanya golongan Ahlussunnah wal Jamaah yang diterima oleh majoriti ummat Islam di seluruh dunia kerana tidak terdapat dalam pegangannya atau akidahnya yng bercanggah dengan petunjuk Al-Quran dan Hadis Rasul.

Walau apa pun, kemunculan berbagai firqah, mazhab atau kalta dalam alam Islam itu sebenarnya untuk membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Rasulullah SAW sejak lebih 1400 tahun lalu adalah benar.