Sunday, May 15, 2011

Mustafa as-Siba'ie

Mustafa as-Siba'ie dilahirkan pada tahun 1915 di bandar Hims, Syria. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga ulama. Ayahnya, Syeikh Husni as-Siba'ie adalah khatib di Masjid Hims dan salah seorang pejuang yang menentang penjajahan Perancis di Syria.

Kanak-kanak Yang Cerdas
Mustafa mendapat pendidikan awal di Sekolah Masudiyyah. Beliau pelajar yang pintar di sekolah. Pada usia masih muda beliau berupaya menghafaz Al-Quran. Beliau juga mendapat didikan agama daripada kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh ayahnya dan daripada ulama-ulama terkemuka lain di Hims. Antara guru yang pernah mengajar beliau adalah Mufti Hims, Sheikh Tahir Al-Atasi.

Pada usia yang muda beliau menunjukkan kesungguhan dalam menentang penjajahan. Seawal usia 16 tahun beliau ditangkap oleh penjajah Perancis keran menyebarkan risalah-risalah berbentuk kritikan pada pendudukan Perancis. Pada usia 18 tahun beliau menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Hims apabila ketiadaan ayahnya. Akibat daripada khutbah beliau yang berapi-api mengajak rakyat berjihad menentang penjajah beliau ditangkap sekali lagi.

Pejuang Muda
Pada tahun 1933, beliau melajutkan pelajaran ke universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Fiqh dan Usuluddin. Di sini beliau berkenalan dengan Imam Hasan al-Banna dan gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir. Beliau dan rakan-rakan sekuliah pernah ditangkap dan dipenjarakan selama 3 bulan oleh penjajah Inggeris di Mesir kerana terlibat dalam tunjuk perasaan menentang penjajahan pada 1941.

Seterusnya beliau dipindahkan ke Palestin dan dipenjarakan selama empat bulan sebelum dibebaskan. Namun beliau dilarang masuk semula ke Mesir oleh pihak Inggeris. Hanya pada tahun 1944 beliau menyerahkan tesis kedoktoran beliau yang bertajuk "Kedudukan Sunnah dalam Syariah". Ijazah kedoktoran beliau adalah dalam bidang Syariah Islamiah. Pada tahun 1950, beliau menjadi tenaga pengajar di Fakulti Undang-Undang di Universiti Syria.

Sekitar tahun 1950an beliau terlibat dalma penggubalan undang-undang Syria yang lebih islamik. Antara sumbangan beliau yang lain adalah membantu memasukkan pelajaran Pendidkan Islam dalam kurikulum sekolah dan mewujudkan jurusan Syariah di Universiti Syria (Universiti Damascus)

Pelopor Ikhwanul Muslimin Syria
Pada tahun 1942 Mustafa menubuhkan cawangan Ikhwanul Muslimin di Syria. Selepad bertapak selama setahun di Syria, hampir 100,000 orang menyertai gerakan itu. Beliau juga mengangkat senjata menentang tentera Perancis di Syria pada 1945. Pada tahun 1948, gerakan Ikhwan Syria membantu dalam perang melawan Zionis Yahudi di Palestin.

Apabila perang meletus di Terusan Suez pada tahun 1952, beliau dan gerakan Ikhwan Syria menyatakan hasrat mahu membantu menentang Inggeris. Namun, beliau dan rakan-rakan lain dipenjarakan dan seterusnya dibuang negeri ke Lubnan. Di Lubnan, beliau menyemarakkan semangat jihad di kalangan pemuda di sana hingga tertubuhnya Al-Jamaah Al-Islamiyyah pada tahun 1964.

Sekembalinya Mustafa daripada peperangan di Palestin, beliau meneruskan jihad menegakkan Islam dalam bentuk penulisan. Contohnya beliau menulis dalam majalah mingguan As Syihab, majalah Al-Muslimun dan majalah Al Hadharah Al-Islamiyah. Beliau juga menerbitkan surat khabar Al Manar pada tahun 1955 dan Al Syabab pada tahun 1958. Ia dijadikan wadah berdakwah dan memberi kesedaran pada imperialisme Barat di dunia Islam

Mustafa meninggal dunia pada bulan Oktober 1964 di Hims selepas menderita sakit lumpuh di sebelah kiri badannya selama hampir lapan tahun. Diceritakan, sehari sebelum beliau menemui Allah, beliau sempat menulis tiga tulisan iaitu Al-Ulama Al-Auliya, Al-Ulama Al-Mujahidun dan Al-Ulama Asy-Syuhada'.