Sunday, July 7, 2013

RAMADHAN BERTAMU LAGI

Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Saudara-saudari,

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Saudara-saudari,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."



Sunat-sunat puasa


* Makan sahur serta mentakhirkannya.

* Segera berbuka dan sunat berbuka dengan buah tamar atau benda-benda yang manis atau air. Buah tamar adalah makanan yang terbaik dari segi agama dan
kesihatan dan jika tiada buah tamar berbukalah dengan air kerana ia dapat menyegarkan badan.

* Berdoa setelah berbuka - Rasulullah s.a.w berdoa setelah berbuka dengan ucapan, mafhumnya, Wahai Tuhanku aku telah berpuasa untukmu dan aku telah
berbuka dengan rezeki kurniaanmu.

* Mengkadakkan jamuan berbuka puasa – Menjamu orang-orang berbuka puasa adalah satu kebajikan.

Wajib imsak


Imsak bererti menahan diri dari makan dan minum mulai terbit fajar hingga terbenam matahari, seseorang Islam itu wajib berimsak (menahan diri) walaupun mereka
tidak berpuasa ataupun puasanya telah terbatal oleh beberapa sebab.

Mereka yang wajib berimsak

* Orang yang masih menyangka hari berkenaan masih 30 Syaaban, kemudian disedari telah satu Ramadan.

* Orang yang meninggalkan puasanya dengan sengaja. Orang yang tidak berniat pada malamnya dan tidak pula berniat puasa sebulan Ramadan.

* Orang yang berbuka kerana menyangka telah masuk waktu berbuka (Maghrib) rupa-rupanya masih siang.

Tidak wajib imsak


* Mereka yang dalam perjalanan (musafir) ketika sampai ke tempat yang dituju.

* Kanak-kanak yang hampir baligh.

* Orang kafir ketika masuk Islam.

* Orang gila ketika sembuh.

* Orang yang sakit ketika sembuh.

Adab ketika berpuasa


Perkara-perkara di bawah adalah sangat dituntut kepada umat Islam seluruhnya apatah lagi di waktu mana kita sedang mengerjakan ibadat puasa, antara tuntutan itu ialah:

* Menanamkan rasa penuh harap, segala amalan kita mudah-mudahan diterima baik oleh Allah.

* Mengurangkan makan dan minum ketika berbuka dan sahur.

* Mengelakkan diri apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa.

* Mengurangkan tidur di siang hari.

* Hendaklah kita selalu mengingatkan bencana dan balasan Allah di akhirat.

* Menjauhkan diri dari mengumpat, mencerca, mencela, mencaci, maki hamun, berbohong serta mencarut dan apa-apa sahaja perkataan yang kotor dan berbau busuk dan hina didengar telinga.


*Petikan daripada nukilan ABDULLAH ABD. RAHMAN seorang pendakwah bebas..
SELAMAT BERAMAL.....:)

No comments:

Post a Comment